SERIE A
Inter diambang Scudetto, humban Crotone ke Serie B
CROTONE 0 INTER 2
Pemain Inter telah membentuk sebuah pasukan yang utuh dan selayaknya mendapat tempat dalam sejarah penubuhan kelab itu, menurut Antonio Conte.
Nerazzurri mengatasi Crotone 2-0 awal pagi tadi -- keputusan itu menyingkirkan skuad kendalian Serse Cosmi tersebut ke divisyen bawah -- bagi menamatkan penantian selama 11 tahun untuk menjulang Scudetto, dengan syarat pencabar terdekat, Atalanta, gagal mencapai kemenangan di Sassuolo, malam ini.
Pendahulu Serie A itu berputih mata di peringkat awal permainan apabila dua percubaan terkena tiang sebelum jaringan Christian Eriksen pada minit ke-69 meletakkan mereka di depan, Achraf Hakimi kemudian menokok jaringan untuk Inter terus mencengkam.
Lantas, Conte amat gembira dengan usaha pemainnya sepanjang musim ini sambil mengatakan mereka sememangnya layak untuk menerima segala pujian yang akan datang bagi menamatkan penguasaan selama sembilan musim Juventus.
"Saya rasa kejayaan kempen ini berpunca daripada pembangunan berterusan oleh pasukan ini dalam semua aspek termasuk mental, visi dan melakukannya dengan intensif," katanya kepada Sky Sport Italia.
"Mereka yang diturunkan mahupun yang di bangku simpanan telah membentuk pasukan ini ibarat sebuah batu granit.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Kami sedar bahawa kami boleh kekal dalam lipatan sejarah Inter kerana kami telah berjaya menjatuhkan sebuah pemerintahan selama sembilan tahun. Ia memberikan satu kepuasan jadi pemain layak menerima ucapan tahniah.
"Kami perlu melalui perjalanan ini untuk menang dan ditabalkan juara. Ada pengorbanan yang harus dilakukan, budaya yang harus dikembangkan dan kadang-kadang banyak menderita demi mencapai sesuatu yang luar biasa.
"Bukan semua orang bersedia untuk ke arah ini. Saya dapati ramai pemain di sini yang semuanya ingin menaiki kapal ini yang bersama-sama dan bekerjasama untuk menjadi sebahagian daripada sejarah Inter.
"Saya memberitahu pemain, 'jika anda menang, anda akan tercatat dalam lembaran kelab ini. Sekiranya tidak, anda perlu menghabiskan tiga, tujuh tahun atau lebih lama di sini selain lebih banyak lagi kejayaan akan menyusul.
"Saya tidak perlu meyakinkan mereka kerana mereka semua sudah bersatu hati."
Walaupun Inter berpeluang dinobatkan juara malam ini, Conte sebaliknya lebih senang untuk mengesahkan kejuaraan ketika menghadapi Sampdoria di tempat sendiri, hujung minggu depan.
"Kami sedar bahawa kami di ambang kejuaraan dan kami cukup tenang mengenainya," jelasnya.
"Saya rasa adalah tidak betul untuk bergantung kepada orang lain. Kami mempunyai jurang besar dan ia adalah hasil usaha kami sendiri. Jadi kami tidak perlu berterima kasih kepada sesiapa pun atas hasilnya kelak. Segalanya masih ada di tangan kami. "