BOLA SEPAK

Intan Serah buka akaun gol bersama New York Dutch Lions

Sinar Harian 18/06/2023 | 08:33 MYT
Pemain bola sepak wanita negara, Intan Serah Anisah Zulgafli, membuka akaun gol pertama dalam saingan Liga Premier Bolasepak Wanita (WPSL) Amerika Syarikat malam tadi.
Penyerang berusia 23 tahun itu, yang lebih dikenali sebagai Intan Serah, membalas kepercayaan New York Dutch Lions FC (NYDL) apabila meledakkan jaringan pada minit ke-84 ketika tewas 1-3 kepada New York Athletic Club (NYAC) di Kompleks Sukan LIU.
Biarpun tampil sebagai 'supersub', Intan ternyata menghadirkan bantuan dan ancaman kepada bahagian pertahanan pasukan lawan dalam perlawanan itu.
Intan juga membuktikan keupayaannya dalam menyaingi pemain lawan biarpun diasak hebat sebelum menjaringkan gol.
"Terima kasih kepada semua yang mempercayai saya di NYDL," kata pemain yang memakai jersi bernombor 10 itu.
Terdahulu Intan mencipta sensasi di bumi Amerika Syarikat apabila muncul pemain wanita pertama negara beraksi dalam saingan liga negara itu.
Kredit: Sinar Harian
#bola sepak #bola sepak wanita #Intan Serah Anisah Zulgafli
;