Ini sebab FAM pilih Laos lawan Harimau Malaya
Oktober 29, 2024 07:49 MYT
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan sebab pemilihan pasukan di ranking ke-187 dunia, Laos, sebagai lawan Harimau Malaya bagi perlawanan antarabangsa tier 1 bulan depan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, berkata badan induk bola sepak negara itu tidak dapat mengatur perlawanan menentang 18 pasukan terbaik dari Asia kerana semua pasukan itu sudah mempunyai jadual masing-masing sehingga tahun depan.
"Malah, Pau Marti selaku ketua jurulatih juga membuat keputusan untuk tidak mengatur perlawanan persahabatan menentang empat pasukan dari Asia Tenggara iaitu Singapura, Thailand, Kemboja dan Timor Leste kerana mereka dalam satu kumpulan dengan kita pada Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 pada Disember ini," katanya dalam kenyataan semalam.
Noor Azman berkata perlawanan menentang Laos itu juga telah diputuskan oleh Pau Marti sama seperti aksi menentang New Zealand sebelum ini.
“Pau Marti sendiri yang ingin menentang satu kelab (Auckland FC) pada bulan Oktober. Ini kerana beliau mahu mendapatkan perlawanan menentang pasukan negara yang berada dalam ranking lebih tinggi dan kompetitif. Tapi tiada pasukan negara yang sesuai pada ketika itu.
“Pada masa sama, Pau Marti juga akan memutuskan pasukan manakah yang akan dihantar beraksi dalama Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 nanti.
"Perlawanan menentang Laos dan India ini adalah persiapan terakhirnya dalam menyediakan pasukan ke kejohanan itu," katanya.
Sebelum ini, teka-teki mengenai satu lagi pasukan yang akan menjadi lawan Harimau Malaya terjawab apabila FAM mengesahkan skuad negara akan berdepan Laos pada 14 November.
Ia, sekali gus, melengkapkan slot perlawanan persahabatan Harimau Malaya, yang turut akan berdepan India pada 19 November depan.
--Sinar Harian