Ini punca kekalahan Indonesia kepada China menurut Shin Tae-yong

Muzaffar Musa
Oktober 15, 2024 07:06 MYT
Ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong, mengenal pasti punca utama pasukannya tewas 1-2 kepada China dalam aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia di Stadium Qingdao malam tadi.
Dalam saingan Kumpulan C berkenaan, skuad Garuda itu berdepan kekalahan pertama selepas empat perlawanan apabila Behram Abduweli dan Zhang Yuning meletakkan tuan rumah selesa dengan dua gol di depan sebelum ke bilik persalinan.
Indonesia mengerahkan segala kudrat yang ada untuk bangkit dalam perlawanan itu tetapi mereka hanya dapat menjaringkan satu gol hasil sentuhan Thom Haye menuju ke penghujung permainan.
"Yang pertama, tahniah kepada pasukan China," kata pengendali itu seperti yang dilaporkan media-media serantau.
"Kedua-dua pasukan mempunyai kemahuan yang kuat untuk memenangi perlawanan ini, mungkin China memiliki kemahuan yang lebih kuat.
"Kami sudah melakukan yang terbaik. Ini bukan pengakhirannya, jadi kami akan bersedia untuk perlawanan seterusnya dan menunjukkan prestasi yang lebih baik," katanya.
Indonesia seterusnya akan berdepan Jepun di laman sendiri bulan depan.
#bola sepak #Indonesia #China #kelayakan Piala Dunia
;