Pau Marti Vicente akan melepaskan jawatannya yang berkuat kuasa selepas kempen Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024, susulan penstrukturan pasukan kebangsaan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Namun, secara terperincinya, ia bukanlah perkara yang diinginkan oleh pengendali kelahiran Sepanyol itu, malah masih mahu menabur bakti bersama skuad Harimau Malaya.

"Tidak. Sudah tentu saya mahu tinggal lebih lama.

"Ini bukan keputusan saya tetapi harus menerimanya.

"Seperti sebelum ini, saya hanya fokus kepada perkara yang saya ingin buat. Bantu pemain untuk mendapatkan prestasi cemerlang.

"Kami harus berpuas hati dengan pekerjaan kami tetapi pada akhirnya keputusan bukan di tangan kami, jadi saya hanya buat yang terbaik untuk membantu pemain memenangi perlawanan," katanya ketika ditemu bual oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.



Jurulatih berusia 41 tahun itu turut hiba dengan keputusan yang dibuat sambil menganggap ia adalah memori terindah buat dirinya selama di Malaysia.

"Apabila anda perlu menghadapi aksi terakhir bersama pasukan, perasaan bercampur-baur mula muncul tatkala saya sudah berada di sini sejak 2022.

"Ia adalah kenangan yang sangat manis buat saya bersama semua pihak," katanya di sidang media kem latihan skuad kebangsaan di Kelana Jaya.