Indra Putra kerja keras rebut kesebelasan utama Kelantan United
Shaiful Shamsudin
Februari 1, 2023 20:45 MYT
Februari 1, 2023 20:45 MYT
Penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super, Indra Putra Mahayuddin, tidak menjadikan kepulangannya ke Kelantan sebagai hadiah perpisahan sebelum bersara.
Sebaliknya, Indra Putra ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, bertekad terus memberi sumbangan kepada bola sepak tempatan andai khidmatnya masih diperlukan yang menyaksikan menyertai Kelantan United kendalian Tomas Trucha bagi cabaran Liga Super, musim ini.
"Saya nak berterima kasih kepada Kelantan United sebab masih mahukan saya bertanggungjawab membawa pasukan lebih jauh.
"Apabila makin berusia, saya tidak boleh bergantung kepada sesi latihan rutin sahaja, saya perlu bekerja lebih keras lagi untuk mengekalkan stamina untuk bersaing dengan pemain muda.
"Saya tahu bukan mudah tapi saya perlu berusaha," katanya yang mempunyai 102 koleksi gol Liga Super itu.
Indra kembali ke bumi Che Siti Wan Kembang untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023 dengan menyertai Kelantan United.
Bekas penyerang kebangsaan ini bakal menyamai rekod bekas rakan seangkatannya, Shukor Adan, yang beraksi pada usia 42 tahun dalam Liga-M.
"Ia masih lagi menjadi teka-teki tapi selagi majikan seperti Kelantan United masih lagi mahukan khidmat saya, saya sedia kekal dan bermain," katanya lagi.
Bagaimanapun, musim lalu nasib Indra tidak begitu baik ketika mewakili Perak berikutan tidak dapat beraksi dalam tempoh enam bulan pertama akibat isu pendaftaran pemain yang dialami kelab berkenaan.
"Ia satu cabaran bagi saya. Saya perlu bekerja keras lebih lagi untuk pastikan mampu beraksi dalam kesebelasan utama," katanya.