Kegusaran penyokong Tok Gajah yang kehilangan Francis Forkey Doe bagi saingan Liga Malaysia musim ini berjaya diatasi dengan prestasi seorang lagi penyerang import, Patrick Cruz dos Santos.
Bekas penyerang T-Team, Patrick Cruz, memperagakan naluri pemusnah dengan ledakan dua gol ketika membenam Terengganu FC (TFC) 3-1 – jaringan kelima dan keenamnya dalam Liga Super.
Advertisement
Kepulangannya ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin, ternyata mengingatkan kembali penyokong Sang Penyu akan kelincahannya yang menjadi sebutan dan igauan ngeri buat pasukan lawan.
Pemain berusia 25 tahun itu berkata dia berbangga dapat menggalas tugas selaku penggempur utama di bawah kendalian Dollah Salleh sambil memasang impian memburu kejuaaran musim ini.
“Pahang masih belum tewas sejak saya menyertai pasukan ini tetapi kerja keras tidak boleh terhenti setakat ini.
“Selain berada di kedudukan baik dalam liga, kami mahu memenangi Piala FA. Jadi, masih ada sesuatu yang ingin dibuktikan kepada penyokong Tok Gajah,” jelasnya.
Sementara itu pengendali Pahang, Dollah, menyifatkan Patrick Cruz seorang penyerang berkaliber dengan pengalaman beraksi di Malaysia bersama T-Team sebagai aset terbaik yang menguntungkan pasukannya.
Sambil mengharapkan sentuhan jaringan itu dapat diteruskan, Dollah berkata komitmen yang ditunjukkan pemain itu sesuatu yang harus menjadi ikutan rakan sepasukannya yang lain.
"Kecederaan dialaminya pada awal musim berjaya diatasi. Malah, (Patrick Cruz) tetap menjadi penjaring dan membentuk gandingan yang baik bersama Forkey Doe.
"Prestasinya semakin meningkat. Saya percaya dia boleh memberikan semangat buat Pahang mengekalkan rentak kemenangan," tambah Dollah.