BOLA SEPAK
Imigresen FC tidak halang pemain berhijrah
Juara Liga M3 MBSB Bank Championship 2023, Imigresen FC tidak akan menghalang mana-mana pemain untuk berhijrah ke pasukan lain musim depan.
Pengurusnya, Iqmal Haqimie Abdullah, akur dengan situasi itu susulan pihaknya tampak tidak dapat memberikan jaminan kepada sesiapa untuk beraksi dalam Liga Super atau sebaliknya ketika ini.
IFC perlu memenuhi syarat yang ditetapkan Malaysian Football League (MFL) untuk memperoleh lesen kebangsaan sebelum layak membuat penampilan sulung dalam kancah utama Liga Malaysia musim depan.
"Kami memberikan peluang kepada semua pemain, jika mereka mendapat tawaran daripada kelab lain, kami sedia menerima, ia adalah untuk kebaikan masa depan pemain," kata Iqmal menerusi Nadi Weekend.
Terdahulu, berlangsungnya majlis penyerahan Piala Kejuaraan kepada skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris di ibu pejabat MBSB yang disempurnakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.
IFC dinobatkan juara liga selepas mengatasi Melaka 1-0 dalam perlawanan terakhir sekaligus mengenepikan pencabar terdekat KL Rovers dan Harini FT.