Mauricio Pochettino berharap agar skuad England akan "memahami" keperluan Tottenham Hotspur ketika menggunakan khidmat Harry Kane dalam aksi antarabangsa, minggu depan.
Kane hanya mencatat satu jaringan dalam lima aksi terakhirnya bersama Spurs dan terpaksa dikeluarkan pada minit ke-77 ketika skuad bimbingan Pochettino itu mencatat kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace, semalam.
England bakal bertemu Jerman pada pada 11 November sebelum menyambung aksi persahabatan menentang Brazil, empat hari kemudian.
Tatkala bintang tengah Spurs, Dele Alli, tidak dapat disenaraikan oleh pengendali Three Lions, Gareth Southgate, akibat kecederaan, Harry Winks juga menerima nasib sama ketika bertemu skuad bimbingan Roy Hodgson, membuatkan Pochettino turut tidak gembira dengan situasi yang berlaku.
"Ia adalah situasi yang sukar buat semua pihak," kata Pochettino.
"Kami fokus terhadap masalah kami dan dalam masa sama, kami juga memahami keperluan skuad kebangsaan.
"Saya pasti pasukan kebangsaan juga akan faham dengan keadaan pemain-pemain kami dan akan membantu mereka kembali ke tahap kecergasan terbaik kerana aksi pada Disember tentunya sukar.
"Tiada apa yang dapat kami lakukan selain mempunyai komunikasi dan hubungan yang baik dengan semua pasukan negara dan cuba menerangkan situasi yang dihadapi," ujarnya.
Pochettino juga mendedahkan Alli beraksi dalam keadaan tidak cergas ketika membantu Spurs menewaskan Real Madrid 3-1, Rabu lalu.
"Alli merasai kesakitan pada tendon ketika menentang Manchester United dan ia hampir kepada kecederaan paha, tetapi beraksi 90 minit ketika bertemu Real Madrid menyebabkan agak berisiko untuk menurunkannya di Wembley (menentang Crystal Palace).
"Kami pasti dia akan bersedia menjelang perlawanan menentang Arsenal pada 18 November," tambahnya.
Penulis Jemputan
Mon Nov 06 2017