Ifedayo Olusegun teruja apabila berjaya membantu Kedah Darul Aman FC mencetak kemenangan ke-10 Liga Super dalam penampilan sulungnya bersama pasukan.

Penyerang kelahiran Nigeria itu juga bertekad membuktikan kepada peminat skuad Hijau Kuning serta pemerhati bola sepak tempatan bahawa sentuhannya masih lagi antara yang terbaik dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) ketika ini.

"Saya rasa bersyukur dan gembira.

"Dengan kehadiran ramai penyokong Kedah mahupun PDRM di sini, saya bangga dapat membantu mereka boleh pulang gembira dengan jaringan untuk tiga mata.




"Katakan saya dibawa masuk tapi saya gagal menjaringkan gol dalam 10 perlawanan, apa yang mereka akan kata terhadap saya?" katanya selepas pertemuan di Stadium MBPJ malam tadi itu.

Kali terakhir dia meledak di pentas Liga Super ialah ketika bersama dengan Melaka United, iaitu berdepan Sri Pahang FC pada tanggal 13 Ogos 2022.

Tambahnya, dia sudah tidak sabar untuk beraksi di Stadium Darul Aman di hadapan sorakan padu penyokong sendiri.

"Saya bukan seorang pemain yang gemar memuat naik gambar kegiatan seperti berlatih di laman sosial, saya sebaliknya memilih untuk menyepi dan membuktikan sentuhan melalui persembahan di atas gelanggang," katanya.