Skip to main content

Bola Sepak

ICC: Solskjaer harap perjanjian United-Maguire selesai secepat mungkin

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

maguire.jpg
MAN UNITED 2 AC MILAN 2
(United menang penalti 5-4) 

Urusan perpindahan Harry Maguire daripada Leicester City ke Manchester United hanya perlu dimuktamadkan dengan "beberapa butiran kecil terakhir",  dedah pengurus, Ole Gunnar Solskjaer.


Maguire dilaporkan bakal menjadi pertahanan termahal dalam sejarah dengan tanda harga £80 juta (RM404.3j) yang akan melepasi yuran £75j (RM379j) yang dibayar Liverpool kepada Southampton untuk memancing Virgil van Dijk pada Januari 2018.

Bercakap selepas seri 2-2 dengan Milan dalam aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) 2019 di Cardiff, awal pagi tadi -- pemain Wales, Daniel James, menyempurnakan penentuan sepakan penalti untuk United menang 5-4 -- Solskjaer memaklumkan kepada sidang akhbar bahawa perjanjian Maguire itu boleh dimuktamadkan "tidak lama lagi".

Dia tidak menolak untuk menurunkan pemain itu dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Chelsea di tempat sendiri, hujung minggu depan. 

"Mudah-mudahan segala butiran terakhir akan dapat dilaksanakan supaya kami dapat mengumumkan sesuatu dengan segera," katanya.

"Saya harap ia dapat diselesaikan (sebelum membincangkan peluang Maguire berdepan Chelsea) tetapi, sudah tentu (dia boleh beraksi). 

"Dia sudah terlibat dalam beberapa perlawanan sepanjang musim panas ini, jadi kami perlu menilai kebarangkaliannya dan jangkaan dia diturunkan."

United tampil tanpa Paul Pogba di Stadium Principality selepas pemain tengah itu mengalami kekejangan sehingga mencetuskan rasa curiga sesetengah pihak berikutan Real Madrid masih mengidamkan khidmatnya. 

Solskjaer menegaskan dia tidak memiliki keraguan bahawa pemain Perancis itu mahu kekal di United musim ini sambil menjangkakan dia boleh diturunkan untuk menghadapi skuad kendalian Frank Lampard itu.

"Dia akan kembali berlatih minggu depan," katanya. "Ia bukan satu kecederaan, dia hanya menanggung kesakitan.

"Saya tidak akan mengambil sebarang risiko pada hujung minggu ini," katanya.

Romelu Lukaku tidak turut serta dengan rombongan skuad United, namun Solskjaer tidak menawarkan sebarang perkembangan lanjut mengenai masa depan penyerang itu yang akan melibatkan perjanjian pertukaran dengan penggempur Juventus, Paulo Dybala.

Lukaku mencetuskan kontroversi dengan menerbitkan statistik lariannya dalam sesi latihan United di media sosial semalam, dengan entri itu kemudian dipadamkan.

"Saya telah bercakap dengan Rom. Kes itu telah diselesaikan," tambah Solskjaer.

The Red Devils membuka tirai jaringan menerusi Marcus Rashford pada minit ke-14 sebelum dipadamkan Suso, 12 minit kemudian. 

Namun, jaringan sendiri Victor Lindelof meletakkan Milan 2-1 di depan sebelum Jesse Lingard muncul penyelamat wakil EPL itu untuk mengheret permainan ke penentuan penalti. 

Keputusan 2-2 dalam tempoh sebenar perlawanan itu menyaksikan Benfica dinobatkan juara Piala ICC 2019 dengan rekod bersih tiga kemenangan. 

Advertisement

Must Watch Video