Ibu Harry Maguire kesal ejekan melampau peminat
Shaiful Shamsudin
September 15, 2023 08:54 MYT
September 15, 2023 08:54 MYT
Ibu Harry Maguire mengkritik 'penderaan dasyat' terhadap anaknya yang dipercayai telah melampaui bola sepak.
Pertahanan Manchester United itu tidak senang dengan sorakan di Hampden Park dalam kemenangan 3-1 England ke atas Scotland sambil pengurus, Gareth Southgate, berpandangan ia adalah satu gurauan yang mengarut.
Justeru, ibu Maguire, Zoe Maguire-Wilkinson, menempelak layanan buruk berlebihan terhadap anaknya.
“Sebagai seorang ibu yang melihat tahap komen negatif dan kesat yang diterima oleh anak saya daripada beberapa peminat, pakar dan media adalah sesuatu yang memalukan dan sama sekali tidak boleh diterima oleh mana-mana lapisan masyarakat di sebalik seseorang itu bekerja keras demi kelab dan negara,” luahnya di Instagram.
“Seperti biasa saya berada di bangku penonton jadi saya tidak boleh terima ejekan berlebihan. Saya faham bahawa dalam dunia bola sepak ada pasang surutnya, positif dan negatif tetapi apa yang diterima Harry sudah jauh melangkaui bola sepak.
“Melihat apa yang dilaluinya adalah tidak OK. Saya tidak suka melihat mana-mana ibu bapa atau pemain lain melalui perkara seperti ini pada masa akan datang, lebih-lebih lagi apabila anak lelaki mahupun perempuan mereka menembusi kesebelasan utama hari ini.
“Harry berjiwa dan ia adalah satu usaha yang baik untuk mempunyai kekuatan dan boleh mengendalikannya kerana kalau terjadi kepada orang lain, mereka mungkin tidak mampu. Saya tidak juga mendoakan penderitaan seperti ini kepada sesiapa pun!”