Manchester United dibenarkan untuk menyenaraikan Aaron Wan-Bissaka untuk pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) dengan Atalanta, minggu depan.

Bek itu diperintah keluar padang dalam separuh masa pertama ketika United menempa kekalahan 1-2 kepada Young Boys, bulan lalu.

Bekas pertahanan Crystal Palace itu kemudian terlepas kempen perlawanan kedua ketika United bangkit daripada ketinggalan untuk menumbangkan Villarreal 2-1 hasil jaringan lewat daripada Cristiano Ronaldo.

Namun, rayuan The Red Devils berjaya apabila penggantungan dua perlawanan itu dikurangkan kepada satu.

Oleh itu, pemain berusia 23 tahun tersebut -- yang belum terlepas dalam sebarang perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini -- akan sedia mengekang wakil Serie A, Atalanta, di Old Trafford, Khamis depan.

United kini menghuni tempat ketiga Kumpulan F, satu mata di belakang pendahulu, Atalanta.