Skip to main content

Bola Sepak

Hukuman FIFA: KBS tuntut akauntabiliti, sokong siasatan bebas Tun Md Raus

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

hm-denda.jpg
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan menterinya, Hannah Yeoh, sebentar tadi memaklumkan bahawa kementerian itu, melalui Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS), akan bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Siasatan Khas Bebas yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, berhubung hukuman FIFA terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan atas dakwaan pemalsuan dokumen.

Menurut kenyataan itu, hasil siasatan berkenaan akan menjadi asas kepada pelaksanaan langkah-langkah pembetulan serta penambahbaikan yang perlu dipatuhi oleh FAM.

Hannah, dalam kenyataan berkenaan, berkata: "Kerajaan perlu berhati-hati kerana sebarang bentuk campur tangan boleh menyebabkan FAM digantung oleh FIFA. 

"Penggantungan seperti itu bukan sahaja memberi kesan kepada pasukan utama kebangsaan tetapi turut melibatkan semua pasukan bawah umur serta pihak lain seperti Malaysian Football League (MFL), Amateur Football League (AFL) dan kelab-kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia. 

"Tindakan ini akan menjejaskan keseluruhan ekosistem bola sepak tempatan.

"Dalam sejarah bola sepak antarabangsa, beberapa negara telah berdepan tindakan penggantungan oleh FIFA akibat campur tangan kerajaan. Antaranya termasuk Indonesia (2015), yang digantung selama setahun selepas Kementerian Pemuda dan Olahraga Republik Indonesia membekukan persekutuan bola sepak negara itu; Zimbabwe (2022) selepas badan dilantik kerajaan mengambil alih pentadbiran persekutuan bola sepak negara; Chad (2021) apabila kerajaan menubuhkan pasukan khas untuk menguruskan bola sepak negara; serta Benin (2015) dan Brunei (2009) yang turut digantung kerana keputusan mahkamah dan kerajaan masing-masing mencampuri urusan pentadbiran persatuan bola sepak.

"Kesemua contoh ini menunjukkan bahawa FIFA tegas dalam menegakkan Statut 15(c) yang menetapkan setiap persatuan bola sepak mesti bebas daripada sebarang bentuk campur tangan politik atau kerajaan. Prinsip ini menjadi asas kepada keanggotaan mana-mana negara di bawah FIFA.

"Sehubungan itu, KBS akan terus seimbangkan antara keperluan mematuhi peraturan antarabangsa dan tuntutan akauntabiliti dalam negara, dengan memastikan FAM memperkukuh tadbir urus serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti dan kredibiliti bola sepak Malaysia."
 
Football

50% OFF Nike Mercurial Superfly

Control lebih kemas, larian lebih laju & sepakan lebih padu setiap game.
Beli Sekarang

Advertisement

Must Watch Video