LIGA INGGERIS
Howe harap tandatangani Wilshere secara tetap
Pengurus Bournemouth, Eddie Howe, mengakui pemain pinjaman Arsenal, Jack Wilshere, boleh melihat masa depannya bersama pasukan lain tetapi masih berharap untuk menandatanganinya secara tetap pada penghujung musim ini.
Wilshere dipinjamkan ke Bournemouth sepanjang musim ini, dengan AC Milan dan West Ham merupakan antara kelab yang telah dilaporkan mahu mendapatkan khidmatnya jika dia tidak mahu melanjutkan kontraknya di Stadium Emirates, yang bakal tamat pada 2018.
Pemain berusia 25 tahun itu telah beraksi dalam 24 penampilan Liga Perdana Inggeris musim ini tetapi diketepikan oleh skuad bimbingan Howe dalam empat perlawanan berturut-turut, termasuk ketika seri 0-0 dengan Southampton.
Iklan
Howe menegaskan keputusan mengetepikan Wilshere bukan kerana persembahannya dan masih mahu mendapatkan khidmatnya pada musim akan datang walaupun terdapat kelab-kelab lain juga menagih kemahiran yang dimiliki pemain kebangsaan England itu.
"Kami sangat menggemari Wilshere dan mahu menandatanganinya," kata Howe.
"Namun, keputusan itu terletak kepada Arsenal dan Wilshere. Kami tidak memiliki sebarang hak ke atasnya dan Wilshere boleh melihat dirinya bersama kelab lain di masa akan datang.
"Dia memberitahu kepada kami bahawa dia bersedia memberikan komitmen sepenuhnya kepada pasukan. Ternyata dia tidak mahu beraksi sebagai pemain gantian, namun terdapat persaingan yang sengit di dalam pasukan.
"Kami perlu membuat pilihan yang tepat bagi menghadapi perlawanan. Wilshere sangat rajin menjalani sesi latihan dan ia dapat dilihat di atas padang."
Bournemouth akan berkunjung ke Anfield berdepan Liverpool dan Wilshere dilihat akan diturunkan bagi menggantikan Andrew Surman yang mengalami kecederaan lutut.
Must-Watch Video