CRYSTAL PALACE 1 BRIGHTON 1
Roy Hodgson mendedahkan bahawa dia berasa lebih berpuas hati dengan pencapaian Crystal Palace -- yang dilanda krisis kecederaan -- walaupun melepaskan gol penyamaan lewat ketika 1-1 dengan Brighton, awal pagi tadi.
Pemain gantian, Danny Welbeck, melepaskan tandukan yang menewaskan Dean Henderson pada minit ke-82 bagi membatalkan gol pembukaan Jordan Ayew dan memastikan pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) kelima berturut-turut mereka di Selhurst Park berakhir dengan keputusan yang sama.
Palace -- kini di tangga ke-15 dan sembilan mata di hadapan tiga tercorot -- belum menang dalam tujuh perlawanan untuk memegang rekod kemarau kemenangan terpanjang EPL selepas mengatasi rekod enam perlawanan milik Nottingham Forest.
Mereka juga akan bertandang ke Stamford Bridge selepas Krismas.
Apabila ditanya sama ada dia berasakan sebarang tekanan tambahan berikutan keputusan suram Eagles baru-baru ini dan seterusnya menuruni meja, Hodgson berkata: “Baiklah, saya rasa itulah bola sepak.
“Jika saya mencadangkan bahawa setiap kali kemerosotan pasukan maka pengurus sepatutnya berasa tertekan, jadi saya seharusnya di bawah tekanan tetapi saya tidak percaya bahawa pemain mampu berjuang lebih tinggi daripada apa yang mereka telah lakukan pada masa ini. Jika ini adalah tekanan maka saya tidak berasakannya. Tidak, tidak sama sekali.
“Jangan lupa perlawanan kami yang seterusnya ialah berdepan Chelsea. Maksud saya, asasnya ialah kami perlu akur tentang kemampuan sendiri. Kami juga sedar bahawa walaupun kami mencapai tahap maksimum tapi jika berjumpa Liverpool, Man City dan Brighton, ia akan menjadi persoalan yang sukar.
“Jika selepas tiga perlawanan itu anda boleh duduk di sini seperti yang saya lakukan malam ini dan lebih berpuas hati pencapaian pasukan, mungkin itu lebih penting daripada sekadar berkata 'baik, anda perlukan tiga mata'. Siapa yang tidak perlukan tiga mata? Itulah kesimpulannya.”
Shaiful Shamsudin
Fri Dec 22 2023