LIGA INGGERIS
Hodgson kagum dengan aksi Batshuayi
CRYSTAL PALACE 2 FULHAM 0
Pengurus Crystal Palace, Roy Hodgson, kagum dengan persembahan Michy Batshuayi yang melakukan penampilam sulung ketika meraih kemenangan ke atas Fulham.
Batshuayi, yang menyertai The Eagles dari Chelsea, hanya tampil beraksi selama lapan minit sebagai pemain gantian ketika pasukan meraih kemenangan 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.
Dia berjaya memaksa penjaga gol lawan, Sergio Rico, yang berusaha untuk menampan keluar percubaannya sebelum Jeffrey Schlupp menyambar bola bagi melengkapkan kemenangan pada minit ke-87.
Kapten pasukan, Luka Milivojevic, terlebih dahulu meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi sepakan penalti dan ini merupakan kemenangan pertama selepas empat perlawanan buat skuad bimbingan Hodgson itu yang masih berusaha untuk mengelak daripada zon penyingkiran.
"Batshuayi bermain dengan baik ketika Palace menjaringkan gol kedua perlawanan," kata Hodgson.
"Kami memerlukan pemain seperti ini untuk hadir ke dalam perlawanan. Kami lebih berbahaya menerusi sepakan sudut.
"Kami mengawal rentak permainan dan menghasilkan peluang. Kami perlu mula meraih lebih banyak mata untuk menjauhkan kedudukan daripada zon penyingkiran."
Batshuayi turut berkata selepas perlawanan tamat, "Ini merupakan kemenangan yang penting untuk pasukan dan saya. Ini merupakan permulaan yang positif buat saya bersama Palace."