Skip to main content

Bola Sepak

Higuain tiba di Milan untuk lengkap pinjaman ke Rossoneri

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

higuain.jpg
Gonzalo Higuain tiba di Milan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum menyertai Rossoneri secara pinjaman dari Juventus.

Dia dipercayai akan memperkuatkan AC Milan pada musim 2018-19, dengan kelab itu juga mempunyai pilihan untuk melengkapkan perpindahan tetap untuk khidmat pemain antarabangsa Argentina berkenaan. 

Laporan mengaitkan Milan akan membayar Juve €18 juta (RM85.3j) untuk tempoh pinjaman setahun dengan potensi perpindahan masa depan dikatakan telah dipersetujui bernilai €36j (RM170.7j).

Penghijrahan Higuain hadir selepas juara Serie A itu mengeluarkan dana €112j (RM531.3j) untuk memancing Cristiano Ronaldo.

Jurulatih Milan, Gennaro Gattuso, memberitahu wartawan bahawa "tiada apa-apa untuk diperkatakan" mengenai perpindahan itu tetapi Higuain mengesahkan bahawa dia telah bercakap dengan pengurus barunya itu. 

"Saya berasa baik, saya akan menjalani ujian perubatan dan berharap untuk menandatangani kontrak baru saya esok," kata Higuain kepada Sky Sport.

"Saya mahu memberi penghormatan kepada peminat AC Milan, termasuk peminat Juventus, kerana mereka sentiasa menyokong saya. Saya harap kami akan pergi sejauh mungkin.

"Esok, saya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan menandatangani kontrak."

Higuain melakar 55 gol dalam 105 penampilan untuk Juve dengan memenangi dua gelaran Serie A dan Coppa Italia serta mara ke final Liga Juara-Juara (UCL) 2017.

Juve dan Milan dilaporkan turut hampir mencapai kesepakatan pertukaran pemain yang akan menyaksikan bekas pemain pertahanan Bianconeri, Leonardo Bonucci, kembali ke Turin, hanya setahun setelah meninggalkan kelab tersebut.

Milan akan mendapatkan pertahanan tengah Itali, Mattia Caldara, sebagai sebahagian daripada rundingan melibatkan Bonucci, sekali gus memberikan Gattuso pengganti berpengaruh di bahagian benteng. 

 

Advertisement

Must Watch Video