LIGA INGGERIS

Hernandez bukan untuk dijual

Penulis Jemputan 28/07/2018 | 23:10 MYT
Pengarah Sukan West Ham, Mario Husillos, menegaskan bahawa penyerang, Javier Hernandez, tidak akan terlibat dengan mana-mana aktiviti sepanjang jendela perpindahan ini dibuka dan dijangka kekal bersama kelab.
Penyerang berusia 30 tahun itu telah kembali ke kelab berkenaan selepas berkhidmat bersama Mexico dalam saingan Piala Dunia, yang menyaksikan El Tri mara ke peringkat kalah mati sebelum disingkirkan Brazil dalam pusingan 16.
Di sebalik permulaan cerah bersama West Ham, masa depan Hernandez menjadi spekulasi selepas mula diketepikan di Stadium London musim lalu, dengan bekas pengendali, David Moyes, memilih Marko Arnautovic dalam kesebelasan utama.
Hernandez menyertai kelab itu tahun lalu dan Husillos, yang bertugas bersama pengurus baru, Manuel Pellegrini, percaya bekas pengendali Manchester City itu mampu menghidupkan semula semangat Hernandez di atas padang.
"Kami meletakkan banyak harapan, Hernandez tidak berada dalam senarai perpindahan pemain buat pasukan ini.
"Gaya permainan Pellegrini diminati oleh barisan pemain penyerang kerana ia bersifat mengawal permainan dan kerap mencipta peluang.
"Pemain penyerang mampu menyerlah ketika beraksi di bawah kendalian beliau."
Aksi pertama Pellegrini bersama West Ham adalah berdepan Liverpool di Anfield pada 12 Ogos ini.
;