Skip to main content

Bola Sepak

Henderson sanjung impak Klopp

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

jurgenklopp-4.jpg
Kapten pasukan, Jordan Henderson, bertegas bahawa semua pujian harus diarahkan kepada pengurus, Jurgen Klopp, selepas Liverpool memenangi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

The Reds muncul juara Eropah buat kali keenam selepas menewaskan Tottenham 2-0 di Madrid menerusi jaringan Mohamed Salah dan Divock Origi.

Henderson, yang memimpin rakan sepasukan menjulang trofi selepas tamat perlawanan, pantas memuji Klopp yang mencetus inspirasi di sebalik kejayaan Liverpool.

"Tanpa pengurus ini, perkara ini tidak akan berlaku," kata Henderson. 

"Anda mengharungi tempoh sukar selama bermusim-musim tetapi apa yang telah dilakukannya sejak kedatangannya ke kelab ini adalah sukar dipercayai.

"Ia bukan hanya pemain-pemain yang dibawanya masuk bagi menjadikan pasukan lebih kuat, malah pemain-pemain yang sedia ada dijadikannya bertambah baik. Wujud kesepaduan dalam kumpulan ini. Dia telah mewujudkan (suasana) bilik persalinan yang istimewa.

"Semua pujian, segala-galanya, haruslah kepada pengurus."

Henderson turut tidak berminat untuk membincangkan statusnya selaku bintang Liverpool terkini untuk memimpin sebuah pasukan mengecap kejayaan Piala Eropah.

"Ia bukan mengenai saya selaku kapten yang menjulang trofi," katanya. "Sudah tentu ia sangat istimewa tetapi ia bukan mengenai itu. 

"Ia mengenai kelab ini, pemain-pemainnya, mengenai pengurus pasukan ini. Kami kami perlu terus berusaha."

Henderson, yang kerap mendapat kutukan terdahulu dalam kariernya, menyerlah selaku bintang Liverpool sejak beberapa bulan kebelakangan.

"Saya berasa sangat bangga untuk menjadi sebahagian daripada kelab bola sepak ini. Saya sudah berada di sini agak lama. Untuk mengetuainya menjadikannya lebih istimewa buat saya.

"Ia bermakna segala-galanya buat saya sejak saya masih kanak-kanak. Saya hanya cuba memberikan yang terbaik setiap kali bermain bola sepak, untuk membantu pasukan saya dalam apa keadaan pun.

"Pernah ada tempoh sukar di mana ia sangat menyulitkan ke atas karier saya tapi saya tetap berusaha sebagaimana kelab ini terus berikhtiar. Dan anda mendapat detik-detik seperti ini -- dan inilah tujuan anda melakukannya.

"Ini adalah detik terbaik dalam hayat saya selain anak-anak saya. Inilah yang saya impikan sejak kanak-kanak lagi."
 


 

Advertisement

Must Watch Video