Skip to main content

Bola Sepak

Henderson mahu terus wakili England selagi mampu walaupun diejek penyokong

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

jordan-henderson.jpg
Jordan Henderson menegaskan dia tidak akan meninggalkan pasukan England walaupun diejek oleh penyokong sendiri dalam perlawanan di Wembley Jumaat lalu.

Henderson mengejutkan ramai pihak apabila memilih untuk melepaskan peranannya sebagai kapten Liverpool dengan menyertai Al-Ettifaq pimpinan Steven Gerrard dalam Liga Pro Saudi dengan kesepakatan bernilai £12 juta (RM69.18 juta).

Pemain tengah itu pernah menjadi penyokong berprofil tinggi gerakan hak LGBTQ+ semasa berada di Anfield dan memohon maaf atas pegangannya itu bulan lalu selepas berpindah ke Arab Saudi, di mana homoseksualiti diharamkan.

Tiada reaksi negatif yang ketara terhadapnya ketika menentang Ukraine di Scotland tetapi berbeza keadaannya apabila dia menjadi ketua pasukan England dalam perlawanan pertama mereka di laman sendiri sejak perpindahan kontroversinya.

Penyokong mula mengejeknya apabila nama Henderson diumumkan sebelum kemenangan 1-0 dalam perlawanan persahabatan menentang Australia itu, termasuk ada penyokong yang melakukan cemuhan kepadanya ketika dia digantikan dalam separuh masa kedua.

"Ia bukan perkara yang baik, penyokong anda sendiri yang mengejek," katanya.

"Setiap orang ada pendapat masing-masing. Saya gemar bermain untuk England dan telah bermain selama bertahun-tahun, itulah sebabnya saya masih di sini.

"Saya masih mahu bermain untuk England selagi mampu dan sedia untuk memberikan segala-galanya untuk pasukan dan negara saya.

"Untuk memimpin pasukan adalah perkara yang amat bermakna buat saya dan keluarga saya. Ia satu malam yang istimewa dan kemenangan itu merupakan perkara paling penting.

"Tetapi, setiap orang ada pendapat mereka sendiri. Setiap kali saya terserempak dengan sesiapa sahaja di luar padang, ia sentiasa menjadi perkara positif dan hanya perkara baik yang dilontarkan.

"Ia tidak akan mengubah diri saya dan apa yang saya sedia lakukan buat pasukan dan negara saya. Saya sentiasa memberikan sepenuh kemampuan saya," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video