Skip to main content

Bola Sepak

Hazard, Batshuayi menyinar benam Scotland

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

edenhazard-cropped_1v0pfmfjrpgl51x18b8sgvxhqm.jpg
SCOTLAND 0 BELGIUM 4

Eden Hazard mempamerkan persembahan cemerlang tatkala Michy Batshuayi menyumbat dua gol bagi membolehkan Belgium menghukum kelemahan benteng Scotland dengan kemenangan 4-0 dalam aksi persahabatan di Hampden Park, awal pagi tadi.


Kesilapan John McGinn memberikan Romelu Lukaku peluang untuk membuka tirai jaringan sebelum rehat sebelum Hazard melebarkan kedudukan dengan gol hebat.

Charlie Mulgrew dan Ryan Jack merupakan dua pemain yang bertanggungjawab dalam menghadiahkan dua gol jaringan Batshuayi.

Cabaran lebih sukar dilihat menunggu skuad kendalian Roberto Martinez itu tetapi dia tenang melihat persembahan daripada pasukan semi-finalis Piala Dunia itu.

Barisan pertahanan Scotland tenang mengekang Belgium daripada melakukan sebarang percubaan dari jarak jauh walaupun diuji dengan usaha Hazard, namun kehilangan punca membuatkan mereka terpaksa menanggung akibat pada minit ke-28.

Craig Gordon melakukan hantaran kepada McGinn, sebelum bola dirampas oleh Mousa Dembele dan adik kepada Hazard, Thorgan, tenang membuka ruang buat Lukaku, sekali gus membolehkannya menjaringkan gol ke-18 buat Belgium dalam 16 aksi terakhir.

Tandukan Vincent Kompany sekadar singgah ke palang gol dan Gordon melakukan dua aksi tangkas untuk menafikan percubaan Hazard dan Lukaku, menyaksikan pelawat menamatkan aksi sebelum rehat dengan penuh keyakinan.

Bagaimanapun, Hazard hanya memerlukan 50 saat selepas aksi bersambung untuk menjarakkan pendahuluan apabila penggempur Chelsea itu melepaskan rembatan kaki kiri yang tepat menuju ke penjuru kanan gawang.

Enam minit kemudian, hantaran tidak kemas Mulgrew dipintas oleh Dembele dan selepas dia menolak kepada Hazard, bekas pemain Lille itu membuka ruang untuk Batshuayi mudah menampan bola masuk.

Batshuayi sekali lagi bertindak cemerlang, meraih gol kedua peribadi untuk menjadikan kedudukan 4-0, kali ini menyempurnakan bola lorongan daripada Youri Tielemans.

Peledak Valencia itu seharusnya mencatat hatrik jika rembatannya tidak sekadar singgah ke sisi jaring gol, namun ia tetap tidak mengubah kekalahan terburuk Scotland di laman sendiri sejak 45 tahun yang lalu.

Advertisement

Must Watch Video