Havertz miliki perjanjian mengenai perpindahan -- Voller

Nafis Abdullah
Julai 4, 2020 10:00 MYT
Kai Havertz memiliki perjanjian dengan Bayer Leverkusen yang membolehkannya berhijrah dalam jendela perpindahan seterusnya jika semua syarat dipenuhi, kata Rudi Voller.
Bintang Jerman itu menikmati musim cemerlang dalam Bundesliga selepas meledakkan 12 gol dan mencatat enam bantuan jaringan.
Prestasi Havertz menyebabkan dia dikaitkan dengan perpindahan mega tatkala Real Madrid, Bayern Munich dan Chelsea berminat dengan pemain tengah menyerang itu sambil Leverkusen berharap dapat menerima EUR100 juta.
Pengarah sukan kelab, Voller, berharap dapat meyakinkan Havertz untuk kekal semusim lagi tetapi mengakui terdapat perjanjian di antara kelab dan pemain mengenai perpindahan.
"Tiada sebarang spesifik atau laporan. Setakat ini, dia masih pemain kami," katanya.
"Kami memiliki perancangan dan tahu kemampuannya. Secara peribadi, saya mahu dia kekal semusim lagi. Kami mempunyai perjanjian. Jika boleh, dia akan pergi pada musim panas nanti."
Leverkusen akan menentang Bayern dalam aksi final DFB-Pokal awal pagi esok dan masih bersaing dalam Liga Europa, di mana ia akan dilengkapkan bulan depan selepas penangguhan ekoran coronavirus.
Sekiranya Havertz melengkapkan perpindahan lebih awal, dia bakal melalui situasi sama seperti Timo Werner yang memilih untuk tidak memperkuatkan RB Leipzig dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah selepas bersetuju menyertai Chelsea.
Voller percaya semua pemain patut menamatkan musim bersama pasukan mereka walaupun terlibat dengan sebarang perpindahan.
"Mungkin cara saya terlalu lama atau romantik tetapi bagi saya, penting untuk pemain menamatkan musim, tidak kira bila ia ditamatkan," tambahnya.
"Tidak kira ia Liga Europa atau Liga Juara-Juara, jika itu yang diinginkan pemain, penganjur atau kelab, saya tidak faham jika seseorang pemain itu tidak mahu bermain."
Dia menambah: "Sudah tentu anda tidak boleh memaksa sesiapa. Havertz tahu dia berhutang dengan rakan sepasukan, peminat dan kelab."
#Bayer Leverkusen #Bundesliga #Rudi Voller #Kai Havertz
;