LIGA INGGERIS
Hatrik Ronaldo selamatkan Man United
Hatrik Cristiano Ronaldo yang ke-50 dalam karier kelab menyelamatkan Manchester United ketika berjaya mengatasi Norwich City 3-2 di Old Trafford.
Tiga gol pemain berusia 37 tahun itu merupakan yang kedua dalam tiga penampilan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sekaligus kini merekodkan 21 gol musim ini, melepasi halangan 20 gol buat kali ke-16 berturut-turut.
Ronaldo kini telah merekodkan 99 gol dalam saingan EPL sepanjang kariernya, dan United perlu berterima kasih kepadanya dalam perlawanan yang sekali lagi mampu menjejaskan mereka.
Iklan
Pemain kebangsaan Portugal itu meletakkan United mendahului 2-0 namun Norwich bangkit menerusi Kieran Dowell dan Teemu Pukki, sebelum bekas bintang Real Madrid dan Juventus itu melepaskan rembatan kencang menerusi sepakan percuma mengatasi Tim Krul pada minit ke-76.
Kemenangan itu menyaksikan mereka melonjak ke tangga kelima dengan 51 mata, dipisahkan tiga mata dengan penghuni tangga keempat, Tottenham sementara berkongsi mata dengan Arsenal di tangga keenam yang berkelebihan satu perlawanan.
Must-Watch Video