Harry Kane ke Bayern Munich kerana mahu cabaran baru bukan trofi semata-mata
Saufi Tahir
April 17, 2024 08:52 MYT
April 17, 2024 08:52 MYT
Pemain Bayern Munich, Harry Kane, mungkin akan menjalani musim tanpa trofi selepas perpindahannya ke kelab gergasi Jerman Bayern Munich sebelum ini tetapi Ketua Jurulatih Tottenham, Ange Postecouglou, mempertahankan keputusan penyerang itu .
Dia pernah bekerja dengan Kane selama beberapa minggu pada musim panas lalu sebelum Kapten England itu memutuskan untuk meninggalkan kelab zaman kanak-kanaknya bagi mengejar cabaran baru.
Ketika pemain berusia 30 tahun itu menikmati musim yang cemerlang dengan 39 jaringan gol dalam keseluruhan pertandingan bersama Bayern Munich, harapan terakhir Kane dan kelabnya untuk memenangi trofi pada musim ini adalah dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) selepas Bayer Leverkusen berjaya merampas takhta juara Bundesliga pada musim ini.
"Saya tidak fikir itu adil. Saya tidak akan bercakap untuk Harry, demi Tuhan tetapi saya tidak fikir perkara itu satu-satunya sebab dia pergi.
"Saya fikir dia cukup jelas bahawa dia mahukan penggalaman berbeza dan saya tidak fikir ia perkara yang salah.
"Dia berada di satu kelab untuk jangka masa yang sangat lama. Dia boleh mengalami sesuatu yang berbeza sebagai pemain bola sepak. Tetapi saya tidak beranggapan bahawa dia berpindah hanya untuk memenangi trofi.
"Saya tidak fikir jika dia kekal di sini maka dia tidak akan memenangi sesuatu. Saya hanya fikir dia mahukan penggalaman berbeza dan dia sudah mendapatkannya." katanya.