Kegagalan skuad bola sepak kebangsaan tampil dengan aksi cemerlang dalam perlawanan persahabatan di New Zealand meletakkan tekanan ke atas jurulatih Pau Marti Vicente serta barisan pemain negara.
Namn, di sebalik aksi hambar Isnin lalu itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menganggap masih ada perkara penting yang boleh dibawa pulang daripada prestasi Harimau Malaya terutama sekali menjelang saingan Piala ASEAN Mitsubish Electric 2024.
Biarpun tumpas 0-4 kepada New Zealand dalam perlawanan antarabangsa berkelas Tier 1, ia tetap dianggap satu pengalaman berharga buat skuad Harimau Malaya.
Ia menerusi pendedahan beberapa pemain muda di pentas besar menentang pasukan handalan yang berada di ranking ke-95 itu.
Antara lain, kelibat pertahanan Selangor, Harith Haiqal Adam Afkar, yang paling mencuri tumpuan setelah diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama, sekali gus melakukan penampilan di pentas antarabangsa.
Dan ini pandangan Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O'Donell berhubung perkembangan itu.
"Dia nampak mantap di bahagian pertahanan, boleh membaca permainan dengan baik.
"Dia selesa memegang bola dan agresif. Saya teruja untuk melihat perkembangannya pada masa depan," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Shaiful Shamsudin
Thu Oct 17 2024