Pertahanan negara, Harith Haiqal Adam Afkar, tetap bermotivasi tinggi menjelang pertemuan menentang Laos dalam aksi persahabatan tier 1 di Stadium PAT, Bangkok pada Khamis ini.
Ini sekali pun penampilan pertamanya bersama Harimau Malaya dipandang sepi oleh rata-rata peminat bola sepak tanah air.
Harith Haiqal mencuri tumpuan apabila diturunkan dalam kesebelasan utama ketika perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu New Zealand di Auckland bulan lalu.
Peluang itu hadir buat pertahanan Selangor berkenaan susulan ketiadaan tonggak utama, Dion Cools.
Bergandingan bersama Dominic Tan, dia bagaimanapun mendapat kritikan dalam penampilan sulungnya kerana dilihat tidak mempunyai persefahaman yang baik tatkala Harimau Malaya tumbang 0-4 di tangan All Whites.
"Masing-masing ada hak untuk bercakap dan menilai," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Bagi saya, saya sentiasa melakukan yang terbaik dan apa sahaja kritikan ke atas saya, saya terima tidak kira baik atau buruk.
"Seperti yang saya katakan, saya sentiasa memberikan yang terbaik dan tidak hiraukan apa orang cakap pasal saya.
"Rezeki saya dapat berada di sini dan saya rasa ia sudah cukup bermakna," katanya.
Muzaffar Musa
Tue Nov 12 2024