Harimau Selatan waspada peningkatan Terengganu FC
Sinar Harian
Jun 8, 2023 12:07 MYT
Jun 8, 2023 12:07 MYT
Skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) berazam meneruskan momentum kejayaan dalam perlawanan sulung pusingan kedua Liga Super berdepan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok.
Menurut pengendali skuad Harimau Selatan, Esteban Solari, kejayaan tersebut dilihat penting dalam usaha meneruskan kesinambungan aksi cemerlang pasukan musim ini.
"Bola sepak sentiasa berkait rapat dengan perlawanan akan datang dan kali ini esok, kami akan menentang Terengganu FC dan pasukan ini telah menunjukkan peningkatan.
"Oleh itu, perlawanan ini pastinya sukar kerana ketika menentang mereka dalam pusingan pertama sebelum ini, kami turut menerima tentangan yang sengit, apatah lagi kali ini mereka beraksi di laman sendiri.
"Apa pun, kami akan cuba memberikan aksi terbaik bagi meraih tiga mata berharga," katanya.
Untuk rekod, JDT menamatkan saingan pusingan pertama Liga Super musim ini dengan nota cemerlang apabila menewaskan Penang FC, 2-0 di Stadium Bandaraya, Sabtu, lalu.
Sementara itu, Solari berharap tonggak pertahanan import, Jordi Amat, kembali cergas untuk beraksi pada perlawanan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, pihaknya akan membuat penilaian terlebih dahulu bagi memastikan pemain berkenaan benar-benar cergas untuk beraksi.
"Kami mahu pastikan dia (Jordi), benar-benar cergas sebelum beraksi nanti," katanya.
Dalam aksi berdepan Penang FC, Sabtu Jordi dikeluarkan pada minit ke-46 dan digantikan oleh Shahrul Saad.
Kredit: Sinar Harian