Walaupun pertemuan dengan Kemboja dianggap mudah oleh sesetengah peminat bola sepak tanah air, namun ia bukan satu tugas mudah untuk Kim Pan-gon dan pasukan kejurulatihannya untuk memastikan anak didiknya mengukuti corak permainan yang ingin diterapkan selain mengikut falsafah bola sepak Malaysia.

Ini kerana majoriti pemain-pemain yang dipanggil kali ini merupakan muka baru dan belum pernah mengikuti latihan di bawah kendalian Pan Gon.

Tetapi itu bukan penghalang kepada barisan kejurulatihan Harimau Malaya untuk menyediakan sebuah pasukan yang mantap sebelum Piala AFF 2022 berlangsung.

Ia boleh dilihat daripada jumlah jaringan yang dicipta dan diperolehi dimana keseluruhan pemain Harimau Malaya telah menunjukkan persefahaman yang baik.

Mereka juga tidak mempunyai masalah untuk menjelmakan falsafah bola sepak Malaysia dengan corak permainan pantas dengan hantaran-hantaran pendek secara “build up attack”, transisi menukar arah serangan dengan pantas dan memberi tekanan awal untuk memenangi bola dengan cepat supaya dapat mengawal tempo permainan.

Selain itu, mereka juga begitu kreatif dalam melakukan umpanan terutama pemain-pemain midfield yang diketuai Lee Tuck.



Kombinasi di antara Lee Tuck, Stuart Wilkin dan David Rowley membuatkan bahagian tengah begitu kreatif dalam merencanakan gerakan dan menyalurkan lorongan-lorongan bola bahaya kepada Faisal Halim dan Darren Lok.

Sementara itu, kombinasi Faisal dan Lee Tuck tidak boleh disangkal lagi kerana mereka pernah bersama di Terengganu FC, lihat sahaja bagaimana gerakan jaringan yang diperolehi Harimau Malaya terutama gol jaringan kedua.

Keserasian ini pasti akan melegakan Pan-gon kerana ia menawarkan petanda positif buat skuad kendaliannya itu untuk pergi jauh dalam Piala AFf kali ini.




Walaupun majoriti mereka ini baru pertama kali dihimpunkan tetapi mereka telah menunjukkan satu kemampuan yang luar biasa dan memperlihatkan satu keharmonian serta keceriaan yang membawa satu aura menampakkan sebuah pasukan yang perlu diberikan perhatian oleh pasukan pilihan seperti Thailand dan Vietnam.

Dengan situasi ini akan memberi kelegaan kepada Pan Gon kerana beliau tidak perlu bimbang lagi tentang pilihan pemain jika ingin memanggil untuk menyertai skuad Harimau Malaya dan ia juga membuktikan bahawa Malaysia masih lagi mempunyai ramai pemain boleh diketengahkan.

Jadi sama-sama kita terus memberi sokongan dan galakan kepada skuad kendalian Pan-gon ini agar terus beraksi dengan positif walaupun lain wajahnya tetapi mereka tetap serasi.