BOLA SEPAK MSIA
Harimau Malaya jumpa Kyrgyzstan, Taiwan tanpa kelibat Syihan Hazmi
Skuad bola sepak negara terpaksa melupakan khidmat Syihan Hazmi Mohamed selepas penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mengalami kecederaan selepas kehilangan Faisal Halim, Romel Morales, Arif Aiman Hanapi dan Darren Lok juga akibat situasi sama.
Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), khidmat bekas penjaga gol Negeri Sembilan FC itu disisihkan selepas doktor perubatan Harimau Selatan mengesahkan kecederaan pemain berusia 28 tahun berkenaan.
Perkembangan terkini itu menyaksikan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon, tidak memanggil pemain pengganti, sebaliknya kekal dengan tiga penjaga gol, iaitu Azri Ab Ghani, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
Sementara itu, pemain Buriram United, Dion Cools, bersama lima pemain JDT, Matthew Davies, Corbin-Ong, Shahrul Saad, Feroz Baharudin dan Endrick dos Santos, mula menjalani sesi latihan bersama skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Kem latihan pusat Harimau Malaya kini disertai 24 pemain dengan pemain Selangor FC, Nooa Laine, akan menyertai pasukan esok bagi melengkapkan 25 pemain yang akan ke Bishkek, Kyrgyzstan sehari kemudian.
Harimau Malaya seliaan Pan-gon akan menghadapi perlawanan kelima dan keenam Kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun ini diikuti Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 11 Jun ini.
--Sinar Harian