Pertemuan menentang Fiji dalam aksi persahabatan antarabangsa kelas ‘A’ di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok, penting buat skuad kebangsaan mengekalkan rentak kemenangan menjelang Piala Suzuki AFF bermula 8 November depan.
Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, menyedari skuad Fiji yang dibimbing Christophe Gamel bukan lawan mudah, tambahan pula skuad yang dikenali sebagai ‘Bula Boys’ itu menduduki ranking ke-165 dunia ketika ini, 10 anak tangga di hadapan Malaysia di kedudukan ke-175.
“Aksi menentang Fiji ini bukan mudah dan mereka bukan satu pasukan yang lemah. Permainan mereka teratur selain memiliki kekuatan daripada aspek fizikal.
“Kami perlu memperkuatkan semua posisi, terutama bahagian serangan, di mana pemain kita dilihat kurang menyerlah dalam saingan Liga Malaysia dan kita perlu segera mengatasi kelemahan itu,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat koordinasi perlawanan persahabatan tersebut di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.
Jurulatih berasal dari Kedah itu, bagaimanapun, tidak mahu menjanjikan kemenangan besar bakal berlaku seperti perlawanan sebelum ini yang menyaksikan skuad Harimau Malaya membenam Bhutan 7-0 di Kuala Lumpur tetapi cukup sekadar mempamerkan aksi berkualiti dan menterjemahkan segala perancangan yang diatur dengan baik di atas padang.
Selain Fiji, Harimau Malaya juga akan menghadapi lima lagi perlawanan persahabatan bertemu Taiwan pada 7 September depan, Kemboja (11 September), Sri Lanka (12 Oktober), Republik Kyrgyz (16 Oktober) dan Maldives (3 November).
Sementara itu, Gamel berkata beliau akan membariskan ramai pemain muda dalam perlawanan menentang Malaysia, dengan menganggapnya sebagai medan terbaik dalam usaha membentuk pasukan pada masa hadapan.
“Malaysia memiliki pemain lebih bagus tetapi kami akan mempamerkan aksi terbaik dan meraih keputusan positif,” katanya.
Fiji memiliki sedikit kelebihan daripada segi rekod pertemuan dengan Malaysia dengan memenangi dua daripada empat pertemuan sebelum ini, dan skuad kebangsaan hanya menang sekali pada Februari 2001.
Kali terakhir Malaysia bertemu Fiji adalah dalam siri Jelajah Oceania 2016 di Prince Charles Park, Nadi, Fiji, yang menyaksikan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee ketika itu, mengikat Fiji 1-1.
-- BERNAMA
Imej: Asiana