Skip to main content

Bola Sepak

Harimau Malaya ada sinar peningkatan positif -- Zaquan Adha

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

screenshot-2025-04-05-132044.png
Bekas penyerang skuad kebangsaan, Zaquan Adha menyifatkan prestasi Harimau Malaya akan terus menunjukkan sinar peningkatan positif selepas melihat kepada strategi dan kemenangan berjaya diraih dalam aksi menentang Nepal baru-baru ini.

Skuad kendalian jurulatih baharu, Peter Cklamovski baru sahaja menamatkan aksi pertama Kelayakan Piala Asia 2027 dengan langkah kanan dengan menewaskan Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Dua gol daripada Hector Hevel dan Corbin Ong memastikan kemenangan 2-0 untuk Malaysia, sekaligus membuka lembaran positif dalam misi melayakkan diri ke pentas Asia di Arab Saudi.

Mengulas perkembangan tersebut, Zaquan menyifatkan ia sebagai satu permulaan yang memberangsangkan buat skuad negara, walaupun menghadapi cabaran dari segi masa untuk berkumpul dan membuat persediaan.

“Perlawanan menentang Nepal tempoh hari memang dinantikan ramai kerana ia adalah perlawanan pertama di bawah jurulatih baharu, dan turut menyaksikan kemunculan beberapa muka baharu dalam pasukan,” kata Zaquan ketika ditemubual dalam rancangan Nindia Bola.

“Kemenangan tetap satu kemenangan, dan bagi saya, Harimau Malaya akan jadi lebih baik selepas ini kerana apa yang penting, mereka berjaya mencatat kemenangan walaupun perlu berdepan dengan tempoh latihan yang singkat.”

Tambahnya lagi, dengan perancangan yang sedang dirangka untuk baki perlawanan kelayakan akan datang, dia percaya pasukan kebangsaan mampu mencapai keputusan lebih positif.

Perlawanan seterusnya menyaksikan Malaysia akan menentang Vietnam di laman sendiri pada 10 Jun dalam aksi kedua peringkat kumpulan.

Advertisement

Must Watch Video