LIGA SUPER MSIA

Hanya Faizal, Zainal Azman dicalonkan

Azizan Hashim 05/12/2018 | 04:42 MYT
Laluan sudah terbuka buat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Zainal Azman Abu Seman, untuk mengambil-alih kepimpinan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).
Ini kerana hanya nama kedua-duanya dicalonkan untuk pemilihan jawatan presiden dan timbalan presiden dalam kongres luar biasa (EGM) persatuan itu yang akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di Ipoh, malam esok.
"Hanya dua nama itu dicalonkan sehingga tarikh tutup pencalonan pada hari Isnin lalu," kata Setiausaha Agung PAFA, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin.
Menurutnya, persiapan bagi mengadakan kongres itu sedang dijalankan dan tidak menjangka berlaku sebarang masalah.
Selain itu, tiada agenda lain dalam EGM itu kecuali pemilihan presiden dan timbalan presiden bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan Datuk Adly Shah Ahmad Tah.
Hasnul Zulkarnain meletakkan jawatan 8 November lalu dan menyerahkan surat peletakan jawatannya lima hari kemudian berikutan tekanan terhadapnya kerana caranya 'melayan' trofi Piala Malaysia yang dimenangi The Bos Gaurus selepas 18 tahun.
Adly pula menyerahkan surat peletakan jawatan 8 November lalu dengan alasan mahu menumpukan perhatian terhadap perniagaannya.
Justeru, PAFA berada di bawah jagaan Pemangku Presiden, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad, yang juga naib presiden 1 persatuan itu.
Bagaimanapun, segalanya bakal berakhir apabila EGM mengesahkan Ahmad Faizal atau lebih dikenali sebagai Peja sebagai presiden dan Zainal Azman selaku timbalan, sekali gus meletak kembali PAFA di atas landasan betul bagi menyelesaikan urusan pembentukan pasukan bagi kempen 2019 yang masih diselubungi kesamaran.
;