Hannah Yeoh tuntut persatuan perkemas kertas kerja yakinkan penaja industri sukan
Shaiful Shamsudin
Disember 25, 2024 16:18 MYT
Disember 25, 2024 16:18 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, kelemahan kertas kerja antara dilema yang dihadapi industri sukan di Malaysia dalam usaha menarik penaja.
Pandangan itu disuarakannya menerusi pod Sambang di platform YouTube Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) malam tadi.
"Kalau penaja bagi duit, mereka nak ia betul-betul dibawa untuk pembangunan sukan dan tidak hendak lihat ia digunakan untuk bayar gaji ataupun guna untuk bukan-bukan.
"Seperti kita (Kementerian Belia dan Sukan) juga yang beri geran padanan sukan RM30-40 juta setahun, kita ada buat penilaian senarai perbelanjaan mereka.
"Ada dalam cadangan itu perkara yang tidak perlu. Ada pertandingan yang masukkan (kos) nyanyian daripada pempengaruh, sebenarnya tidak perlu," katanya.
Bermula tahun depan juga, KBS akan bekerjasama dengan persatuan melalui PJS untuk pastikan penarafan yang menjurus kepada aspek-aspek baru, pentadbiran yang bagus, penglibatan 30 peratus wanita dan bekas-bekas atlet.
"Sekarang banyak persatuan yang datang ke KBS minta duit. Kalau tak dapat tak adakan program. Semua banyak bergantung Majlis Sukan Negara (MSN).
"Kita ada persatuan dan persatuan kena main peranan.
"Kalau duit tak masuk, perlu lihat adakah jawatankuasa itu mampou untuk beri keyakinan kepada penaja untuk beri duit dan lihat perubahan yang dibuat," katanya lagi.