Pemain muda Sabah, Hamran Peter, tidak menyangka bahawa dia kini dipilih untuk membantu skuad Sabah menghadapi saingan Piala Malaysia, impian yang dahulunya berputik ketika menyaksikan pasukan negeri kesayangan beraksi di kaca televisyen sebelum bertukar menjadi realiti.
Hamran bagaikan tidak percaya muncul sebahagian daripada skuad Sabah yang beraksi di pentas Piala Malaysia musim ini.
Kali terakhir Sabah beraksi dalam Piala Malaysia adalah pada edisi 2011 ketika Hamran baru berusia 14 tahun dan memorinya adalah melihat pasukan negeri kesayangannya beraksi menerusi kaca televisyen.
Pada usia 21 tahun, dia menjadi tonggak penting bahagian serangan skuad Badak dan lebih manis, menjaringkan satu gol untuk merapatkan kedudukan dengan Kelantan dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, 22 September lalu.
"Yang pertama sekali, saya bangga dapat menyarung jersi Sabah, bukan semua orang dapat melakukannya.
"Tidak sia-sia saya gigih menjalani latihan selama ini, tambahan pula dapat beraksi dalam Piala Malaysia.
"Kalau diturunkan nanti, saya ingin membuktikan kebolehan bersama pasukan negeri," katanya.
Pengalamannya dalam Sukma Perak 2018 tempoh hari juga membantu membina keyakinan tinggi buat Hamran agar lebih tajam di depan gawang.
Antara kelebihan yang dimiliki oleh anak jati Telupid tersebut selain kepantasan, dia juga mampu untuk beraksi di mana-mana posisi hadapan seperti pemain tengah dan sayap.
"Aksi ini ibarat final, masing-masing mahu menang.
"Saya harap Sabah dapat melangkah ke peringkat seterusnya," katanya.
Penulis Jemputan
Sat Sep 29 2018