Achraf Hakimi menyifatkan Sergio Ramos sebagai 'pertahanan terbaik dunia' selepas diketepikan daripada skuad Sepanyol untuk Piala Dunia Qatar 2022.

Ketua jurulatih Sepanyol, Luis Enrique, mengumumkan pemilihan 26 pemain untuk kejohanan akan datang di Qatar semalam, dengan Ramos tidak tersenarai.

Bekas bek tengah Real Madrid itu mempunyai 180 kaps untuk Sepanyol, dan merupakan sebahagian daripada pasukan yang memenangi Piala Dunia 2010, serta Kejohanan Eropah 2008 dan 2012.

Selepas musim sulung terpalit dengan kecederaan di Paris Saint-Germain berikutan perpindahannya dari Santiago Bernabeu pada 2021, Ramos telah membuat 19 penampilan kempen ini, dan baru-baru ini menjadi pemain PSG pertama yang kekal tidak tewas dalam 30 perlawanan pertamanya untuk kelab itu di semua pertandingan.

Bagaimanapun, susulan berita bahawa pemain berusia 36 tahun itu tidak akan ke Qatar, rakan sepasukannya di kelab, Hakimi -- yang akan mewakili Maghribi pada kejohanan itu -- memuat naik ciapan di Twitter, "Sergio Ramos. Pertahanan terbaik dunia", dengan emoji tepukan.

Ramos sebelum ini diketepikan daripada skuad Sepanyol untuk Euro 2020 selepas musim terakhir yang dilanda kecederaan di Madrid, dengan aksi antarabangsa terbarunya ketika menentang Kosovo pada Mac 2021 dalam kelayakan ke Qatar 2022.

Nama berprofil tinggi lain yang tidak tersenarai dalam skuad termasuk pemain Manchester United, David De Gea, pertahanan Athletic Bilbao, Inigo Martinez dan Thiago Alcantara dari Liverpool.