UCL
Gundogan label kehadiran semula Mendy sebagai rangsangan
Ilkay Gundogan mengalu-alukan Benjamin Mendy yang kembali daripada kecederaan dengan menyifatkannya sebagai "dorongan besar" buat Manchester City ketika ini berikutan kehilangan dua pertahanan utama.
Aymeric Laporte dan John Stones terpinggir dalam kemenangan 3-0 City ke atas Shakhtar Donetsk dalam Liga Juara-Juara (UCL) semalam akibat kecederaan yang mendorong Pep Guardiola meletakkan Fernandinho di bahagian pusat pertahanan di samping Nicolas Otamendi.
Mendy muncul sebagai pemain gantian dalam babak kedua untuk membuat penampilan pertamanya sejak penyingkiran dalam suku akhir UCL kepada Tottenham, April lalu.
"Ia perkembangan yag menarik untuk melihat Benjamin kembali dan ia adalah satu rangsangan besar buat kami," kata Gundogan kepada laman sesawang kelab itu.
"Dapat menyambutnya kembali adalah satu berita yang hebat buat pasukan kerana kami telah kehilangannya sejak lima bulan lalu dan ia juga satu langkah yang bagus untuknya.
"Kecergasannya akan bertambah baik sebaik dia terlibat dalam lebih banyak perlawanan dan malam tadi (semalam) merupakan langkah penting baginya.
"Kami telah kehilangan beberapa pemain baru-baru ini. Jadi, untuk kembali menyambut seorang anggota penting adalah apa yang kami perlukan.
"Kami akan bersaing dalam banyak kejohanan dan setiap pemain mempunyai peranan, jadi saya sangat gembira untuk melihatnya kembali."
Gundogan membuat kemunculan keempatnya dalam kesebelasan utama musim ini ketika menentang Shakhtar menerusi persembahan cemerlang dalam aksi penuh bertenaga.
Setelah memainkan peranan dalam gol pembukaan Riyad Mahrez, pemain tengah itu mencetak namanya untuk gol kedua The Citizens selain menghasilkan gandingan mantap di bahagian tengah bersama-sama Kevin De Bruyne dan Rodri.
Dia, bagaimananpun, mentakfrifkan prestasinya sebagai sederhana ketika tumbang 2-3 di Norwich City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad lalu.
"Saya gembira tetapi saya tahu bahawa saya masih boleh terus memperbaiki persembahan," tambahnya.
"Adalah bagus dapat menyumbat gol serta mengharungi 90 minit permainan kerana saya fikir saya memerlukannya.
"Ia boleh membantu saya, pasukan dan semua orang kerana kami mahu bangkit dengan segera.
"Seperti yang anda boleh bayangkan, kekalahan di Norwich sangat sukar untuk ditelan. Sebab itulah mengalahkan Shakhtar merupakan langkah mustahak dan kami boleh membawa momentum kemenangan ini menjelang perlawanan dengan Watford esok."