PIALA FA
Gullit beri amaran amalan Sarri gemar kritik pemain
Maurizio Sarri perlu berfikir dua kali sebelum mengkritik pemain Chelsea, demikian amaran diberikan Ruud Gullit.
Pengurus berbangsa Itali itu mempersoalkan mentaliti pasukannya selepas kekalahan 0-2 kepada Arsenal hujung minggu lalu, namun bangkit meraih kemenangan dalam penentuan penalti ketika mengetepikan Tottenham dalam separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL), kelmarin.
Selepas perlawanan itu, Hazard memberi tindak balas terhadap ulasan Sarri itu dengan berkata 'saya tidak peduli', justeru Gullit menganggap ia bukan langkah yang tepat bagi seorang pengurus untuk bercakap negatif mengenai skuad mereka.
"Ia sangat berisiko untuk mengkritik anak buah anda secara terbuka sebagaimana yang Sarri lakukan minggu ini sungguhpun anda tahu anda betul," tulis Gullit selaku kolumnis BBC Match Day.
"Kadang-kadang sebagai pengurus, anda benar-benar mahu bersikap terbuka mengenai apa yang anda fikir, baik atau buruk, dan atas sebab yang tepat. Anda berharap pemain anda bertindak balas dengan cara yang betul.
"Tetapi jika keterbukaan itu disalah tafsir oleh pemain, maka anda akan berdepan lebih banyak masalah.
"Sarri perlu mengelak daripada meluahkannya kepada media seperti kejadian baru-baru ini. Satu-satunya pihak yang akan mendapat faedah ketika itu ialah akhbar."
Mengenai kritikan khusus Sarri yang dilemparkan terhadap Hazard dan tindak balas pemain Belgium itu, Gullit memberitahu Sarri supaya menutup mulut.
"Sarri bercakap tentang Hazard dengan memanggilnya seorang individu dan bukannya seorang pemimpin.
"Kemudian Hazard bertindak balas dengan mengatakan dia tidak peduli tentang apa yang difikirkan oleh pengurusnya itu dan dia masih akan mengamalkan gaya permainannya -- jadi Sarri perlu tutup mulut," katanya.
"Itu suatu petanda kepada apa yang boleh berlaku apabila anda merujuk kepada pemain secara khususnya.
"Saya tidak pernah berasakan jawatan Sarri akan tergugat kerananya, namun kalau mereka saling meluahkan kata-kata seperti itu, maka sebagai pengurus, dia akan menghadapi masalah.
"Itu tiada kaitan dengan kuasa pemain yang terlibat.
"Ya, Hazard merupakan pemain terbaik Chelsea dan mereka terlalu banyak bergantung kepadanya.
"Sarri perlu menangani situasi bilik persalinan dan terus membuatkan mereka gembira, bukan hanya individu."
Chelsea akan menyambut Sheffield Wednesday dalam pusingan keempat Piala FA hari ini sebelum berdepan Manchester City dalam final Piala EFL, bulan depan.