LIGA INGGERIS

Guardiola pun pernah dikritik awal kemunculan di City -- Barkley

Penulis Jemputan 24/02/2019 | 04:15 MYT
Ross Barkley menegaskan sinar akan kembali menerangi Chelsea apabila memberi sokongan kepada pengurus, Maurizio Sarri, yang berdepan tekanan semakin meningkat dengan merujuk kepada pergelutan Pep Guardiola di Manchester City.
Masa depan Sarri di Chelsea menjadi persoalan utama menjelang perlawanan akhir Piala Liga Ingggeris (EFL) menentang City berikutan tiga kekalahan dalam enam perlawanan baru-baru ini.
Chelsea tergelincir ke tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) sementara perjuangan mereka untuk mempertahankan gelaran Piala FA berakhir dalam pusingan kelima di tangan Manchester United.
Sehubungan itu, gaya permainan 'Sarriball' yang diterapkan mula diragui.
Bagaimanapun, Barkley tampil mempertahankan Sarri -- yang telah dikaitkan dengan kepulangan ke Itali untuk mengemudi Roma dalam kancah Serie A.
"Kami belajar pada setiap hari," kata Barkley. "Kami semua pemain kelas atasan dan kami semua ingin belajar lebih banyak lagi. Sekiranya anda membandingkan musim pertama Pep Guardiola (2017), mereka juga melalui sedikit tempoh naik dan turun. Ketika saya berada di Everton, kami mengalahkan mereka 4-0.
"Kami bercita-cita untuk menjadi salah sebuah pasukan terbaik di dunia. Kami kini adalah antara yang terbaik.
"Gaya permainan yang diterapkannya tidak menjadi pada ketika ini. Lambat-laun ia akan berhasil juga. Hari-hari buruk tidak akan berkekalan dan tempoh yang baik menanti kami.
"Kami melakukannya setiap hari dalam latihan. Saya pasti seiring dengan masa, anda akan dapat melihat kebaikannya."
"Setiap pengurus mempunyai cara sendiri untuk bertindak dalam perlawanan," tambah Barkley. "Kami melakukan perkara yang sama di Everton di bawah Roberto Martinez. Permainan kami hanya perlu teratur. Itulah yang akan membantu kami. Oleh itu, secara peribadi saya tidak bimbang (dengan situasi ini).
"Dia cuba menggilap sentuhan setiap pemain. Sepanjang kariernya di Napoli, anda boleh melihat betapa bagusnya pemain-pemain dimilikinya, ia mencerminkan sejauh mana kemampuan mereka ditingkatkan.
"Kami melalui tempoh buruk dalam beberapa minggu terakhir ini tetapi kami yakin mampu meneruskan perjuangan dan mencapai kejayaan.
Bekas pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, dan bekas pemain kesayangan peminat, Frank Lampard -- kini menguruskan kelab Liga Kejohanan, Derby County -- telah dikaitkan dengan Chelsea.
"Selama bertahun-tahun, anda telah melihat pengurus datang dan pergi," kata Barkley. "Ia bergantung kepada kejayaan dan memenangi trofi, sebab itulah saya datang ke kelab ini.
"Jika perkara mula tidak memihak kepada anda, pasti akan wujud tekanan."
;