Skip to main content

Bola Sepak

Guardiola harap Fernandinho sambung kontrak

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

fernandinho.jpg
Pep Guardiola yakin Fernandinho akan menandatangani perjanjian baru di Manchester City sambil memujinya sebagai pemain terhebat dalam sejarah kelab itu.

Kontrak pemain antarabangsa Brazil itu, yang menyertai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan daripada Shakhtar Donetsk pada 2013, akan berakhir pada penghujung musim ini.

Ia mencetuskan spekulasi bahawa musim ini mungkin menjadi kempen terakhir Fernandinho di Stadium Etihad -- dibocorkan secara tidak sengaja oleh Riyad Mahrez apabila mendedahkan pemain berusia 34 tahun itu akan mengikuti jejak David Silva untuk mencari angin baru ketika pemain sayap berkenaan mengambil bahagian dalam kuiz Krismas Sky Sports bulan lalu.

Pemergian Silva akan meneruskan langkah pengunduran tonggak penting kelab itu selepas Vincent Kompany mengucapkan selamat tinggal pada Mei tahun lalu manakala dalam tempoh 24 bulan, Yaya Toure dan Pablo Zabaleta masing-masing telah berbuat demikian.

Begitupun, Guardiola mahu terus melihat kelibat Fernandinho yang memperagakan prestasi mengagumkan sebagai pertahanan tengah musim ini. 

"Ini isu yang perlu ditangani oleh Txiki (Begiristain, pengarah bola sepak), bukan masalah saya," katanya dalam sidang media menjelang perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Port Vale.

"Sudah tentu saya mahu dia kekal. Saya sangat yakin (dia akan kekal) dan saya sangat gembira sepanjang tiga setengah tahun dia bersama kami.

"Dia tidak perlu meyakinkan saya untuk kekal lama. Dia meyakinkan saya sejak hari pertama lagi, iaitu tiga setengah tahun yang lalu ketika kami mula bekerjasama. 

"Dia tidak perlu berbuat apa-apa untuk meyakinkan saya, ia hanya mengenai soal umurnya, keinginannya dan bagaimana dia akan menamatkan musim ini. Ia melibatkan banyak aspek. 

"Dia tahu mengenai pendapat kami terhadapnya di kelab ini selama bertahun-tahun lamanya. Dia adalah salah seorang pemain utama dalam sejarah kelab ini."

Fernandinho acap ditugaskan di bahagian pertahanan tengah, terutama apabila Aymeric Laporte dilanda kecederaan meniskus. 

 
 
Editor: Shaiful Shamsudin

Advertisement

Must Watch Video