Guardiola banyak timba ilmu daripada Arteta
Shaiful Shamsudin
Oktober 8, 2023 11:37 MYT
Oktober 8, 2023 11:37 MYT
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, mengelak tanggapan bahawa dia ada kena mengena dengan kejayaan Mikel Arteta membentuk Arsenal malah menegaskan dia juga banyak belajar daripada rakan senegaranya dari Sepanyol itu.
Naratif pertembungan di antara dua pasukan pada malam ini dijangka sengit dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan perhatian turut memusat kepada keupayaan Guardiola untuk mengekang bekas anak didiknya itu.
Arteta bertindak sebagai salah seorang pembantu kepada Guardiola selama tiga tahun sebelum mengambil langkah seterusnya di Arsenal pada Disember 2019 dan beransur-ansur menyusun langkah untuk menjadi pencabar terdekat City musim lalu.
Justeru, Guardiola secara tidak langsung dianggap memainkan peranan berhubung kebangkitan Arsenal tetapi ia pantas disangkal oleh bekas pengendali Barcelona itu.
Ditanya adakah dia melihat banyak persamaan tentangnya dalam diri Arteta, Guardiola berkata sambil tersenyum: “Sifar. Dia mempunyai ayah dan ibu yang sama sekali berbeza dan dia mempunyai personaliti tersendiri.
“Segala kejayaan yang Mikel nikmati adalah hasil sentuhannya dan orang-orangnya di Arsenal, bukannya saya. Orang kata ‘dia bersama Pep dan banyak belajar’ sedangkan yang sebenarnya saya banyak belajar daripadanya.
“Orang sering menganggap bahawa saya sentiasa menurunkan ilmu kepada penolong jurulatih; Saya membawa pembantu jurulatih ke sini untuk mengajar saya. Saya di sini untuk menjadi sosok di hadapan mikrofon tetapi sebenarnya saya belajar seperti pemain.
“Ramai percaya kami mengajar pemain tetapi kami belajar daripada mereka untuk membuat keputusan. Semua perkara baik tentang Mikel adalah disebabkannya sendiri yang diperoleh genetik ibu dan ayahnya. Bukannya saya."