Pep Guardiola berkata prestasi Kevin De Bruyne dari sekarang hingga akhir musim ini adalah penting sekiranya dia berhasrat ditawarkan perjanjian baharu oleh Manchester City.

Pemain tengah Belgium itu menghampiri tempoh sedekad di kelab itu tetapi kontraknya bakal berakhir di penghujung musim ini dan dia kini bebas berunding dengan kelab luar dan berpeluang berpindah secara percuma musim panas.

De Bruyne bergelut dengan kecederaan sejak 18 bulan lalu dan Guardiola mengakui masa depannya di kelab itu bergantung sama ada dia boleh kekal cergas dan tekal.

Menjelang pertembungan City dengan West Ham, pengurus berbangsa Sepanyol itu berkata: "Dia menghadapi masalah dalam satu setengah tahun lalu seperti kebanyakan pemain.




"Namun, ketika dia tekal dan cergas maka dia adalah pemain yang sangat penting bagi kami. Pemain penentu bagi kami.

"Tetapi ia tentang bagaimana dia akan beraksi untuk kami hingga akhir musim bersandarkan kelab, umurnya dan banyak perkara lain.

"Jadi saya fikir kelab perlu mempertimbangkan soal ini."