Pengurus pasukan Manchester City, Pep Guardiola tidak pasti mengenai masa depan penjaga gol, Ederson.

City telah menandatangani Ederson daripada pasukan ternama Portugis, Benfica, pada 2017 dan pemain kelahiran Brazil itu penting dalam menyumbang kejayaan Guardiola.

Ederson telah beraksi dalam 250 perlawanan Liga Perdana bersama City, memenangi enam kali gelaran.

Dia juga mempunyai 112 rekod tanpa bolos, mencatatkan peratusan menyelamatkan jaringan sebanyak 68.17.

Bagaimanapun, Ederson menarik minat pasukan daripada Arab Saudi, dan Guardiola mengakui pemain berusia 30 tahun itu mungkin akan menerima tawaran itu.

“Saya mahu dia kekal tetapi ia bergantung kepada tawaran kelab lain,” kata Guardiola selepas kekalahan dalam perlawanan persahabatan City 3-4 kepada Celtic selepas Ederson hanya bermain pada separuh masa kedua perlawanan itu.

“Saya tidak tahu keadaannya, saya sudah lama tidak berhubung dengannya.

"Dia masih berlatih bersama kami sehingga jendela perpindahan tamat dan kita akan lihat."
Seorang pemain yang juga berpotensi untuk meninggalkan City pada musim panas ini adalah, Kalvin Phillips.

Bekas pemain tengah Leeds United itu sukar menyesuaikan diri selama dua tahun sejak dia menyertai City, dan pertukaran pinjaman ke West Ham musim lalu tidak berjalan mengikut perancangan.

Guardiola berkata Phillips dikeluarkan pada separuh masa menentang Celtic untuk mengelakkannya daripada terkena kecederaan yang lebih teruk dan meneruskan sesi pemulihan daripada kecederaan itu, tetapi ketika ditanya mengenai masa depan pemain berusia 28 tahun itu, Guardiola berkata: "Saya tidak tahu apa yang akan berlaku. Dia tahu keadaannya, dan kita akan lihat."