LIGA INGGERIS

Gracia puji persembahan Foster

Penulis Jemputan 02/02/2019 | 23:09 MYT
BRIGHTON 0 WATFORD 0
Pengendali Watford, Javi Gracia, memuji persembahan istimewa Ben Foster ketika meraih keputusan seri tanpa jaringan berdepan Brighton and Hove Albion.
Walaupun perlawanan itu tidak akan menjadi satu kenangan terindah, persembahan Foster berada pada tahap terbaik apabila menafikan empat percubaan pasukan lawan.
Foster dua kali menafikan tandukan Jurgen Locadia di samping menampan sepakan gunting Lewis Dunk sebelum memastikan Florin Andone tidak menjaringkan gol pada penghujung permainan dalam situasi satu lawan satu.
Gracia kecewa apabila Watford gagal meraih mata penuh tetapi memberikan pujian kepada persembahan Foster.
"Selepas berakhirnya perlawanan, saya berasakan satu mata sudah memadai tetapi kami mahukan kemenangan," kata Gracia. "Dalam separuh masa pertama, kami mengawal perlawanan dan lawan tidak memberikan ancaman kepada kami.
"Tetapi, perlawanan lebih terbuka dalam separuh masa kedua, mereka mencipta lebih banyak peluang dan Foster telah menyelamatkan pasukan.
"Dia seorang pemain yang penting untuk kami. Pengalamannya amat penting buat pasukan."
Brighton hadir ke dalam perlawanan selepas tewas 4-2 kepada Fulham ketika mereka kini tanpa sebarang kemenangan dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), namun Chris Hughton memuji persembahan pasukannya.
"Kami mencari jalan untuk bangkit daripada kekalahan kepada Fulham -- saya tidak boleh meminta lebih lagi," kata Hughton.
"Pasukan telah berusaha, cuma kami gagal meraih kemenangan. Penjaga gol berada pada tahap terbaik hari ini."
;