Skip to main content

Bola Sepak

Goulon sasar kedudukan enam teratas buat Negeri Sembilan

goulon.jpg
Pemain import baru Negeri Sembilan FC, Herold Goulon, meletakkan sasaran peribadi untuk membantu kelab itu menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan enam teratas.

Ironinya, pengurusan Negeri Sembilan FC hanya meletakkan sasaran untuk kekal dalam Liga Super musim depan tetapi pertahanan kelahiran Perancis itu mahukan sesuatu yang lebih baik dalam musim pertamanya bersama skuad Jang berkenaan selepas tiga tahun bersama Sri Pahang FC.

Dalam satu temu bual Nadi Arena, dia berkata: "Yang pertama, saya amat teruja untuk berada di sini bersama Negeri Sembilan, saya amat optimis untuk tahun ini dan boleh katakan yang sasaran peribadi saya adalah untuk mencuba mendapatkan kembali tahap terbaik seperti sebelum ini.

"Saya akan mencuba untuk kembali menjadi antara pertahanan terbaik dalam liga.

"Saya fikir ia akan menjadi cabaran yang baik buat saya. Saya amat gembira di Pahang tetapi perlu membuka lembaran baru atas beberapa sebab dan Negeri Sembilan datang kepada saya dengan cabaran yang baik. Pasukan ini baru tiba daripada Liga Perdana dan mahu mencapai sesuatu yang besar.

"Saya tidak fikir kami hanya mahu kekal dalam Liga Super musim depan, saya mahukan sesuatu yang lebih daripada itu.

"Saya fikir dengan barisan pemain yang kami ada, dengan pemain import yang kami tandatangani, kami mampu melakukan sesuatu yang besar, mencuba untuk sekurang-kurangnya mendapatkan tempat keenam musim ini dan melihat lebih jauh musim depan," katanya.

Negeri Sembilan akan memulakan saingan Liga Super musim ini dengan menentang Sabah FC di Stadium Likas, Jumaat ini.
 

 

Advertisement

Must Watch Video