LIGUE 1
Gol Neymar, Rabiot kecewakan Amiens
PSG 2 AMIENS 0
Dua jaringan dalam babak kedua daripada Neymar dan Adrien Rabiot mengesahkan tempat dalam separuh akhir buat Paris Saint-Germain (PSG) selepas menundukkan Amiens 2-0 dalam aksi Piala Liga Perancis di Stade de La Licorne, awal pagi tadi.
Bermain di tempat lawan, PSG yang mempertaruhkan gandingan Neymar, Kylian Mbappe dan Angel Di Maria di barisan depan bermula dengan corak menyerang dan tidak memberikan ruang buat tuan rumah untuk berehat walaupun seketika.
Iklan
Neymar hampir membuka tirai jaringan seawal minit kelapan selepas pemain termahal dunia itu melepaskan rembatan kaki kiri, namun percubaannya tepat ke dakapan penjaga gol, Regis Gurtner.
Rabiot juga berpeluang untuk meletakkan pelawat di depan pada minit ke-26 selepas larian deras Mbappe dari sebelah kanan membolehkannya melepaskan sepakan kaki kiri tetapi tersasar.
Malang buat Gurtner apabila dilayangkan kad merah pada minit ke-38 akibat terjahan keras yang dilakukan terhadap Mbappe.
Asakan bertali-arus yang diteruskan skuad kendalian Unai Emery itu akhirnya membuahkan hasil apabila Thomas Monconduit menjatuhkan Neymar di dalam kotak penalti sebelum bintang Brazil itu tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk mencatat jaringan ke-20 peribadi, musim ini.
PSG menambah jaringan kedua apabila sepakan penjuru dari sebelah kanan oleh Di Maria pada minit ke-78 membolehkan Rabiot melonjak tinggi dan menanduk bola masuk menewaskan penjaga gol gantian, Jean-Chris Bouet.
Kedudukan 2-0 kekal sehingga perlawanan tamat, membolehkan PSG mengesahkan tempat dalam kelompok empat pasukan terbaik serta mencatat kemenangan keenam berturut-turut.
Must-Watch Video