LIGA INGGERIS
Gol kemenangan Tottenham boleh buat Conte sakit jantung
BOURNEMOUTH 2 TOTTENHAM 3
Pengurus Tottenham, Antonio Conte, mengakui terpaksa menyorok ke dalam terowong pemain ketika anak buahnya meraikan jaringan kemenangan dramatik Rodrigo Bentancur di Bournemouth berikutan khuatir ia akan mungkin dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR).
Conte kelihatan menuju minggu buruk selepas Spurs ketinggalan dua gol dalam pertembungan di Stadium Vitality, sebentar tadi, menerusi jaringan berganda Kieffer Moore.
Sentuhan pemusnah daripada Ryan Sessegnon, Ben Davies dan jaringan minit ke-92 daripada pemain gantian, Bentancur, mengubah senario perlawanan untuk mereka mengakhiri rentetan tiga kekalahan.
Conte tidak berselindung melontarkan pendapatnya mengenai keputusan VAR baru-baru ini dalam kekalahan Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada Newcastle United minggu lalu disusuli Sporting CP (Liga Juara-Juara).
Bagaimanapun, kali ini mereka beroleh untung dalam masa kecederaan dan ketika di soal tentang tindakannya menuju ke terowong, dia berkata: "Saya kembali apabila saya tahu bahawa gol itu dikekalkan.
"Fikiran dan hati saya boleh membawa kepada serangan sakit jantung kerana perlu menghadapinya dalam tempoh dua hari -- menjaringkan gol kemudian dibatalkan.
"Saya berpesan kepada diri sendiri bahawa saya perlu menjauhkan diri dan memenangkan diri, seterusnya menunggu keputusan pengadil.
"Saya tidak mahu memikirkan bagaimana perasaan saya jika kami tewas dalam perlawanan ini. Dalam separuh masa kedua, walaupun melepaskan gol kedua, kami mula beraksi garang berbekalkan kemahuan dan keinginan. Bukan sahaja daripada segi hantaran, malah mempamerkan bahawa kami beraksi baik dan menarik, tetapi dengan cara yang berkesan."
Sejak permulaan musim lalu, Spurs telah merakamkan empat jaringan kemenangan selepas minit ke-90 di tempat lawan.