BOLA SEPAK

Gol Ayew julang finalis 2015

Dom Farrell 17/01/2017 | 15:08 MYT
Gol sepakan penalti yang diledakkan Andre Ayew sudah memadai buat Ghana untuk memulakan kempen Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) mereka dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Uganda dalam aksi Kumpulan D, awal pagi tadi.
Uganda, yang cetek pengalaman antarabangsa apabila kali terakhir tampil dalam kejohanan besar itu pada 1978, ternyata bukan lawan yang mudah buat pasukan yang diberi jolokan Black Stars itu. Lebih-lebih lagi dengan reputasi Ghana sebagai finalis dalam edisi terakhir lalu.
Penyerang West Ham, Ayew, menyempurnakan sepakan itu pada minit ke-32 selepas Isaac Isinde didapati bersalah kerana mengasari Asamoah Gyan.
Uganda yang dibimbing Milutin Sredojevic memberikan cabaran hebat pada babak kedua dengan pemain tengah berpengaruh, Tony Mawejje, hampir mengikat kedudukan.
Biarpun Ghana mengutip mata, kecederaan lutut pemain pertahanan Schalke, Baba Rahman, mungkin menjejaskan persiapan Ghana yang akan berdepan dengan Mali dan Mesir selepas ini.
Pertahanan Ghana tampak goyah selepas jurulatih mereka, Avram Grant, meletakkan pemain pertahanan tengah berpengalaman, Jonathan Mensah, di bangku simpanan.
Justeru, mereka dipaksa berhempas-pulas sehingga tamat permainan sambil mengharapkan serangan pantas untuk menghukum kubu Uganda.
"Kami terlepas dua atau tiga peluang terbaik tapi kami gembira dengan perlawanan ini.
"Prestasi kami boleh dipertingkatkan lagi. Itulah yang kami perlukan dalam kejohanan besar.
"Bukan mudah untuk bermain di atas keadaan padang sebegini. Corak permainan kami biasanya melibatkan satu atau dua sentuhan sahaja.
"Sukar untuk kami mengamalkan corak yang biasa ditampilkan," kata Grant.
Sredojevic pula berkata Uganda mengambil risiko besar dengan menurunkan sehingga lima penyerang demi memburu kemenangan.
"Saya perlu katakan pada separuh masa pertama, kami gemuruh di atas pentas besar ini.
"Mereka menjaringkan gol akibat kesilapan kami dan sukar untuk menjelaskannya.
"Selepas berehat, kami sedar sepenuhnya bahawa kami sedang beraksi dalam kejohanan besar. Saya perlu menyedarkan setiap pemain dan menyuntik keyakinan kepada mereka bahawa mereka boleh beraksi baik," katanya.
;