Skip to main content

Bola Sepak

Gnabry cergas hadapi Hertha

gnabry.jpg
Serge Gnabry menjalani latihan penuh semalam menjelang pertembungan Bayern Munich dengan Hertha Berlin dalam perlawanan Bundesliga. 

Juara bertahan itu akan ke ibu kota berkenaan Ahad ini untuk perlawanan pertama baki separuh musim ini dalam saingan domestik di Jerman.

Gnabry terpaksa melupakan separuh daripada kem latihan pertengahan musim di Doha, Qatar, ekoran masalah tumit yang menimpanya sejak awal bulan ini. 

Bagaimanapun, Bayern mengesahkan di laman sesawang mereka bahawa pemain sayap berusia 24 tahun itu berjaya menghabiskan latihan selama 90 minit, termasuk turun dalam perlawanan ujian. 

Berita itu hadir sehari selepas penjaring terbanyak, Robert Lewandowksi, kembali ke latihan pasukan susulan pembedahan ketika membantu kemenangan 2-0 pasukannya ke atas Wolfsburg, 21 Disember lalu. 

Gnabry telah menyumbangkan enam gol Bundesliga musim ini selain mencipta enam bantuan gol. Hanya Thomas Muller lebih banyak menyumbang bantuan gol liga untuk Bayern dengan melakukannya 11 kali musim ini.

Skuad bimbingan Hansi Flick itu akan berdepan Hertha sambil menyedari RB Leipzig berpeluang berkelebihan tujuh mata di puncak sekiranya mengalahkan Union Berlin esok. 



Editor: Shaiful Shamsudin 

Advertisement

Must Watch Video