BOLA SEPAK

Giroud dikritik secara tidak adil -- Deschamps

Penulis Jemputan 23/03/2019 | 01:16 MYT
Olivier Giroud kini berkongsi kedudukan bersama legenda Perancis, David Trezeguet, di tempat ketiga senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman buat pasukan itu selepas menyumbat satu gol dalam kemenangan 4-1 ke atas Moldova, awal pagi tadi.
Skuad Les Bleus meraih kemenangan mudah ke atas pasukan yang menduduki tangga ke-170 FIFA dalam aksi pertama kelayakan Euro 2020, yang menyaksikan Antoine Griezmann, Raphael Varane, Giroud dan Kylian Mbappe masing-masing meraih satu gol sebelum Vladimir Ambos menyumbat gol sagu hati buat pelawat.
Jaringan yang dihasilkannya adalah gol ketiga dalam tempoh 12 minit dan ia merupakan gol peribadi ke-34 Giroud di pentas antarabangsa serta jaringan ketiga sejak Piala Dunia tahun lalu.
Dia juga gagal mencatat percubaan tepat dalam tempoh 546 minit sebelum ini ketika menjulang trofi Piala Dunia di Russia.
Namun, Deschamps tetap tidak jemu memberi peluang buat pemain berusia 32 tahun itu dan dia memuji bintang yang hanya ketinggalan di belakang dua legenda, Thierry Henry dan Michel Platini, itu dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman.
"Peningkatan itu dapat dilihat," kata Deschamps.
"Dia jarang digunakan oleh kelab tetapi apabila beraksi dalam Liga Europa, dia turut menyumbat gol.
"Penampilannya benar-benar berguna buat pasukan. Lebih bagus apabila dia menjaringkan gol.
"Jumlah 34 gol itu sangat penting dan dia perlu teruskan. Dia kembali daripada perlawanan sukar dan diadili secara tidak adil.
"Namun, jumlah jaringan yang diraih kembali meletakkannya di peringkat yang tinggi dan selagi dia berpotensi untuk menyamai jumlah gol Platini, saya tidak akan membantunya."
Perancis bermula perlahan dalam 24 minit awal sehingga jaringan daripada Griezmann mengubah senario babak pertama setelah meledakkan sepakan voli susulan hantaran Paul Pogba.
Deschamps membawa skuad penuh ke Moldova dan tidak menghiraukan bagaimana anak buahnya melihat kekuatan lawan.
"Saya tidak gentar. Sejak minggu pertama, saya memberitahu mereka apa yang perlu mengenai perlawanan ini."